gaBrieLeA
PEMBENTANGAN 1 : Meningkatkan Dan Mempermudahkan Kefahaman Pelajar Melalui Aktiviti Permainan Monopoli Bagi Subjek Sains Dan Pendidikan Islam Tingkatan 4 Oleh Ella Syafinaz Bt Safian dan Noor Mazira Bt Ab Malek

Pernyataan Masalah :
1. Adakah aktiviti permainan Monopoli secara berkumpulan dapat meningkatkan pemahaman para pelajar?
2. Adakah pelajar rasa seronok dan terhibur semasa belajar menggunakan kaedah ini?

Ulasan :
Saya berpendapat bahawa tajuk kolokium ini kurang sesuai dan boleh diubahsuai kepada Penggunaan Permainan Monopoli dalam meningkatkan dan mempermudahkan kefahaman pelajar bagi subjek Sains dan Pendidikan Islam. Walaubagaimanapun, saya berpendapat bahawa pendekatan dalam kaedah permainan dalam pengajaran dan pembelajaran adalah salah satu cara untuk menarik minat pelajar dan mengadakan satu kaedah yang luar daripada pengajaran tradisional. Menurut pengkaji, permasalahan yang utama adalah pelajar berasa bosan dengan pengajaran yang berpusatkan guru dan pengkaji mencari alternatif lain untuk memberikan pelajar satu suasana pembelajaran yang menyeronokkan.

Metodologi :
Metodologi yang pengkaji gunakan adalah berdasarkan Model Mc Taggart dan Kemmis (1988).

Ulasan :
Langkah-langkah yang digunakan oleh pengkaji adalah berdasarkan Model Lingkaran Kemmis dan Mc Taggart (1988). Empat fasa yang digunakan mengikut peringkat iaitu Plan (Perancangan), Act (Tindakan), Observe (Memerhati) dan Reflect (Refleksi). Pengkaji memberikan gambaran pada setiap fasa yang mereka jalankan seperti pada model tersebut. Menurut pengkaji, fasa tindakan dan pemerhatian penting dalam kajian ini bagi mendapatkan hasil dapatan dan keputusan kajian yang akan dijadikan sebagai implikasi di dalam kajian ini.

Pengumpulan & Penganalisisan Data :
Ulasan : Pengkaji telah melakukan tiga kaedah dalam mendapatkan data untuk kajian mereka. Berikut merupakan kaedah-kaedah yang digunakan :

a) Pemerhatian
* Berdasarkan pemerhatian, para pelajar menunjukkan minat kerana mereka belajar dengan kaedah yang menarik.
* Mereka beranggapan permainan tersebut seperti satu pertandingan. Mereka berlumba-lumba agar dapat menghabiskan permainan berbanding kawan-kawan lain.
* Mereka sangat gembira dan teruja, tambahan pula ada rakan-rakan yang terpaksa didenda atau hilang giliran setelah melalui petak-petak tertentu.

b) Temubual
Soalan 1: Perasaan pelajar selepas bermain Monopoli?
Soalan 2: Kaedah ini lebih memudahkan pelajar memahami topik?
Soalan 3: Pendapat pelajar tentang kaedah permainan sebagai teknik pengajaran
Sains : Soalan 1 - 100% Soalan 2 -Suka (30) Soalan 3 - 80% Ya (24) 90% Setuju (27)
Pendidikan Islam Soalan 1 -100% Soalan 2 -Suka (30) 87% Soalan 3 -Ya (26) 90% Setuju (27)

Ulasan : Berdasarkan kepada temubual pengkaji diatas, peratusan jawapan pelajar menunjukkan peningkatan /kepuasan hati dan keseronokan pelajar. Disini dapatan kajian ini akan lebih jelas terbukti jika disertakan temubual sebelum menjalankan aktiviti permainan. Bentuk graf atau carta menunjukkan peningkatan dan pemahaman pelajar dengan lebih jitu.

c) Ujian Pra dan Ujian Pos (Sains)

               Gred                   Ujian Pra              Ujian Pos
           A (80-100)                   2                          11
           B (60-79)                   10                          13
           C (40-59)                    5                            6
           D (20-39)                   10                           -
           E (0-19)                      3                            -
           JUMLAH                   30                           30

    Ujian Pra dan Ujian Pos (Pendidikan Islam)

            Gred                     Ujian Pra                Ujian Pos
         A (80-100)                    3                          12
         B (60-79)                      6                          14
         C (40-59)                      7                           4
         D (20-39)                    10                           -
         E (0-19)                        4                           -
         JUMLAH                    30                          30


Ulasan :
Berdasarkan ujian pra dan ujian pos bagi kedua-dua mata pelajaran kajian di atas, perubahan kuantiti peningkatan jelas dilihat daripada ujian pra yang bertabur berbanding markah ujian pos yang hanya tertumpu sekata pada tiga gred yang pertama. Menurut pengkaji, pelajar menunjukkan minat semasa bermain dan mereka tertarik dengan permainan, oleh itu mereka mengambil perhatian serta memberikan maklum balas yang positif menyebabkan mereka lebih faham dalam pembelajaran yang dilakukan. Kesannya ketara boleh dilihat pada keputusan mereka. Tetapi, saya berpendapat juga bahawa data ini akan lebih diyakini dengan persembahan dalam bentuk graf ataupun carta. Kemahiran memasukkan data kuantiti ke dalam bentuk graf atau carta kurang diaplikasikan dalam kajian ini yang mana sepatutnya harus dibuat bagi meyakinkan pada pembaca tentang kajian yang dibuat.

Implikasi Kajian :
* Guru harus memperkenalkan teknik ini bagi setiap topik kepada pelajar bermula dari awal pengajian lagi terutamanya bagi topik yang sukar atau membosankan.
* Mengadakan imbuhan yang lebih besar kepada kumpulan-kumpulan yang berjaya memonopoli permainan sebagai galakan kepada mereka.
* Boleh diaplikasikan bagi mata pelajaran lain mengikut kreativiti guru.

Ulasan :
Secara keseluruhannya, saya berpendapat bahawa kajian yang dilakukan adalah satu usaha yang patut diteruskan dalam mempelbagaikan kaedah pengajaran dan sebagai satu pemangkin kepada pelajar untuk menerapkan minat dalam mata pelajaran yang kurang diminati. Kajian ini seeloknya disertakan dengan kajian-kajian lepas dengan tajuk yang mempunyai kesinambungan untuk menyokong kajian tindakan yang dibuat. Persoalan-persoalan sepatutnya dapat dicapai dan dijawab di dalam implikasi kajian. Perubahan yang dilihat boleh diukur dan dibanding beza baik sebelum dan selepas membuat kajian dan juga dengan kajian-kajian lepas.



Apa yang saya pelajari daripada kajian ini?
Pertama sekali, guru perlu mempelbagaikan kaedah pengajaran supaya pelajar tidak cepat bosan dan mengantuk. Kedua, kemahiran-kemahiran dalam menjalankan kajian itu sendiri perlu ditingkatkan lagu dalam diri guru kerana ia akan menentukan dan mengukur sejauhmana kefahaman dan kebolehan guru tersebut. Ketiga, pengumpulan dan penganalisisan data adalah penting untuk kejituaan kajian. Kaedah-kaedah yang digunakan hendaklah bersesuaian dengan kajian yang dilakukan.


PEMBENTANGAN 2 : Meningkatkan Keyakinan Pelajar Bermasalah Pendengaran Untuk Berkomunikasi Secara Lisan Dengan Menggunakan Kaedah ‘Verbal Repeatition’ Dalam Proses Pembelajaran Dan Pengajaran oleh Suzana Mohd Fauzi (P48659), Ummi Salmah Adnan (P48606) dan Najwa Hayatee Abdullah (P48610).

Pernyataan Masalah :
1) Adakah kaedah ’verbal repeatition’ ini dapat meningkatkan keyakinan pelajar bermasalah pendengaran untuk berkomunikasi secara lisan dalam P&P.
2) Adakah pelajar bermasalah pendengaran dapat menguasai sebutan istilah perkataan dalam P&P dengan menggunakan kaedah ’verbal repeatition’

Ulasan :
Persoalan kajian ini walaupun nampak mudah tetapi merupakan satu langkah yang murni dalam meningkatkan keyakinan diri pelajar masalah pendengaran. Verbal repeatition ini adalah sangat mudah dilakukan bagi pelajar tipikal berkembang tetapi merupakan satu cabaran kepada pelajar bermasalah pendengaran. Inisiatif mereka dalam bercakap menjadi persoalan kerana ini menguji kemampuan mereka dan tahap keyakinan mereka. Pada pendapat saya, persoalan ini juga adalah penting bagi mereka untuk mempunyai tahap keyakinan dalam bergaul secara sosial dengan masyarakat setempat.

Metodologi Kajian :
1. Melibatkan 19 orang pelajar di dalam kelas di SMK Dato’ Ibrahim Yaacob.
2. Model Lingkaran Kemmis dan Mc Taggart (1988)

Ulasan :
Metodologi dalam kajian ini lebih tersusun dan boleh dilihat dengan lebih terperinci tentang apa yang pengkaji lakukan. Menurut pengkaji, pada peringkat pelaksanan adalah peringkat yang agak sukar bagi mereka kerana tahap keyakinan pelajar bermasalah pendengaran masih lagi rendah. Mereka perlu diberikan galakan yang membina berulang-ulang untuk meningkatkan keyakinan mereka semasa mengeluarkan perkataan-perkataan. Selain itu, pemerhatian yang dilakukan melalui nota pemerhatian, temubual, rakaman video dan diari merupakan satu langkah bagi pengkaji untuk melihat keberkesanan kaedah ‘verbal repeatition’ yang mereka lakukan ini.

Pengumpulan dan Penganalisisan Data :
1. Kaedah mengutip data
• Pemerhatian
• Rakaman video
• Temubual
• Diari

2. Analisis data daripada rakaman video
• Pada awal kaedah diperkenalkan, pelajar kurang yakin dan malu untuk berkomunikasi dan menyebut istilah perkataan
• Pada kitar ketiga, pelajar menunjukkan keyakinan dan berani tampil ke hadapan kelas

Ulasan :
Pada pendapat saya, kaedah diari merupakan satu kaedah yang jarang-jarang sekali digunakan dalam kajian tindakan secara keseluruhan oleh pelajar DPLI Januari 2009. Ini menunjukkan kepelbagaian pengkaji dalam usaha mengumpulkan data dan mendapatkan maklum balas daripada responden mereka. Menurut pengkaji, kaedah rakaman video paling berkesan kerana responden pada mulanya sememangnya malu, tetapi selepas membiasakan diri dengan rakaman video, pelajar bermasalah pendengaran ini menjadi seronok berlatih bercakap perkataan yang mereka cuba sampaikan dengan bantuan bahasa isyarat mereka.



Implikasi Kajian :
1. Kaedah yang digunakan dapat meningkatkan keyakinan dan motovasi pelajar
2. Pelajar berpeluang untuk membetulkan sebutan istilah-istilah yang agak sukar
3. Guru berjaya membantu pelajar yang pasif untuk aktif di dalam kelas
4. Kesimpulan
Kaedah ‘verbal repeatition’ membantu meningkatkan keyakinan pelajar untuk berkomunikasi secara lisan dan menyebut istilah-istilah perkataan.

Ulasan :
Pada pendapat saya, implikasi kajian mencapai tujuan tajuk ini iaitu peningkatan dalam keyakinan diri pelajar bermasalah pendengaran ini sememangnya meningkat dan memberangsangkan serta memperlihatkan kesan positif dalam diri mereka. Bukan sahaja tahap keyakinan mereka meningkat tetapi batasan pergaulan mereka akan menjadi lebih luas lagi dengan keyakinan dalam diri mereka. Latihan demi latihan membuatkan mereka lebih selesa dengan apa yang pelajar bermasalah pendengaran ini dengan pergerakan bahasa isyarat mereka.

Apa yang saya pelajari daripada kajian ini?
Saya berminat dengan tajuk ini kerana saya berpendapat bahawa cara persembahan oleh pengkaji berjaya meyakinkan pada pendengar (DPLI Julai 09). Saya dapat melihat sesuatu kajian itu dapat menarik minat dan perhatian pendengar sekiranya para pengkaji atau pembentang membuat persediaan awal dan dapat menjelaskan isi-isi kajian dengan jelas dan sentiasa yakin. Tidak kira sekali pun sama ada tajuk itu mudah atau sukar untuk ditafsir, tetapi apa yang penting saya lihat adalah usaha dan kesungguhan dalam diri untuk menjadikan kajian itu sesuatu yang bermakna bukan sahaja kepada responden tadi tetapi juga kepada pengkaji dan juga pendengar atau pembaca kajian ini.
Labels:
0 Responses

Post a Comment